contoh karangan

Contoh Karangan:Biografi

                                    KEHIDUPAN SEORANG NELAYAN KECIL-KECILAN
Pak cik Karim seorang nelayan kecil-kecilan. Dia menjadi nelayan semenjak berumur 13 tahun lagi. Kebiasaannya, Pak cik Karim akan turun ke laut kira-kira pukul 12.00 malam dengan menaiki sebuah bot gentian kaca yang berenjin. Dia memandu botnya dengan berhati-hati menuju ke tempat bubunya dipasang. 

Setibanya di tempat tersebut, Pak cik Karim segera menarik tali-tali yang mengikat bubu-bubunya dengan sepenuh tenaga. Bubu-bubunya itu sangat berat, apatah lagi jika penuh berisi setelah sehari dibiarkan terendam di dalam laut. Semasa itu juga, matanya sentiasa memerhati kandungan bubunya kerana bimbang jika terdapat ular atau haiwan yang berbisa di dalamnya. 

Setelah bubu berjaya dinaikkan, Pak cik Karim akan membuka pintu kecil di bubu itu untuk melepaskan semua hasil tangkapannya di perut bot sebelum bubu tu di campak semula ke dalam laut. 

Selepas itu, proses memilih hasil tangkapan pula dimulakan. Dia melakukannya dengan berhati-hati untuk mengelakkan terkena sengatan ikan sembilang dan sebagainya. Ini pernah dialaminya dahulu menyebabkan hampir seminggu dia tidak dapat turun ke laut . 

Selepas semuanya selesai, pak cik Karim melabuhkan pula pukat yang panjangnya dalam 200 meter. Kemudian, dia mengikat botnya pada kayu pancang pukat untuk berehat sambil menjamah bekalan atau tidur sehinggalah sampai masa pukatnya ditarik semula. 

Kira-kira pukul 5.00 pagi, Pak cik Karim bangun untuk menarik pukat dan memungut ikan-ikan yang terjerat di pukatnya . Hampir setengah jam kemudian, kerja-kerja memungut itu pun selesai. Pak cik Karim segera pulang ke jeti untuk sembahyang Subuh dan menjual hasil tangkapannya kepada peraih.

Begitulah kehidupan Pak cik Karim seharian sebagai seorang nelayan kecil-kecilan. Kerjanya ini sangat mulia kerana telah menyumbangkan hasil laut kepada kita semua. Tidak semua orang mampu melakukan kerja seperti ini. Oleh itu, hargailah serta bersyukurlah dengan hasil laut yang kita nikmati.


Contoh Karangan:Autobiografi

                                                                  AKU SEBUAH BASIKAL
Aku berasal dari "Negara Matahari Terbit". Aku dibuat di sebuah kilang di negara maju itu. Badanku terdiri daripada besi, getah, kaca dan plastik. 

Setelah siap dipasang, aku digelar basikal. Aku dan kawan-kawanku yang lain ditempatkan di sebuah bilik di kilang itu sementara menunggu untuk dipasarkan. Aku berasa sungguh gembira kerana ramai kawan-kawan memuji kecantikanku. 

Tidak lama kemudian, aku dan kawan-kawanku dihantar ke sebuah pelabuhan untuk menaiki sebuah kapal dagang. Aku berasa sungguh seronok apabila mendapati kami akan dihantar ke Malaysia. Melalui perbualan beberapa orang kelasi kapal itu, aku dengar ramai kanak-kanak di Malaysia ingin memiliki kami. Aku semakin bangga. 

Nasib kami sungguh malang. Tanpa disangka kapal yang kami naiki karam setelah dipukul ombak besar. Aku dan kawan-kawanku tenggelam ke dasar laut. Setahun kemudian, aku dijumpai oleh seorang penyelam. Waktu itu badanku sudah berkarat. Penyelam itu membawa aku dan kawan-kawanku naik ke daratan. Akhirnya kami dihantar ke kilang kitar semula.

Aku berasa sungguh kesal kerana telah menjadi bahan terbuang sebelum sempat mencurahkan baktiku kepada orang Malaysia. Bagaimanapun, itu tidak penting kerana aku yakin semuanya adalah ketentuan Tuhan.


Contoh Karangan:Laporan

                                          Laporan Lawatan Sambil Belajar Ke Kilang Sabun   
           Pada 23 Januari 2010, Persatuan Kemahiran Hidup Sekolah Kebangsaan Merapoh telah mengadakan lawatan sambil belajar ke sebuah kilang sabun di Kuala Lumpur. 30 orang ahli persatuan dan 3 orang guru pengiring terlibat dalam rombongan tersebut.

           Tujuan lawatan ini adalah untuk mendedahkan para pelajar tentang proses membuat sabun. Justeru, akan menambahkan ilmu pengetahuan serta memupuk semangat keusahawanan para pelajar. Peserta bertolak pada pukul 8.00 pagi dengan menaiki bas yang disewa khas. Mereka sampai ke kilang sabun itu pada pukul 9.30 pagi. Ketibaan mereka disambut oleh beberapa orang pegawai kilang. Kemudian, satu taklimat ringkas tentang kilang tersebut disampaikan oleh salah seorang pegawai kilang tersebut.

           Selepas itu para peserta dibawa ke beberapa bahagian memproses sabun. Sebahagian besar kerja memproses sabun ini dilakukan oleh mesin yang berteknologi tinggi. Pekerja-pekerja di kilang tersebut memakai pakaian seragam yang berwarna hijau dan sarung tangan ketika bekerja. Di situ, ramai peserta mengambil kesempatan menyoal beberapa orang pekerja kilang yang sedang bertugas dan mereka dilayan dengan mesra.   
     
            Pada pukul 11.00 pagi, para peserta dibawa ke bahagian pembungkusan sabun. Di situ terdapat pelbagai jenama sabun seperti Lux, Protex dan Okchid dibungkus dengan mesin yang canggih. Kemudian Pada pukul 12.30 tengah hari, semua peserta diberi sedikit jamuan ringan di kantin kilang tersebut.

              Para peserta bertolak balik pada pukul 2.00 petang. Mereka diberi sebuku sabun setiap seorang sebagai cenderamata oleh pihak kilang. Guru pengiring iaitu Cikgu Aisyah telah menyampaikan cenderamata kepada pengurus kilang sebagai tanda penghargaan. Para peserta dilihat sangat seronok menyertai rombongan ini kerana mendapat banyak pengetahuan serta dapat melihat sendiri cara-cara membuat sabun.

Laporan disediakan oleh,                                                                               25 November 2012

                                                                                           
..................................................
(TAN MEI MEI)
Setiausaha,
Persatuan kemahiran Hidup






Contoh Karangan: Catatan

Sekolah kamu telah mengadakan sambutan Hari Guru. Tulis catatan tentang sambutan Hari Guru tersebut.

 RABU, 16 MEI 2012 

7.30 pagi 
Semua guru dan murid berkumpul di dewan sekolah untuk meraikan majlis sambutan Hari Guru 2012. Lagu Negaraku, lagu negeri dan lagu rasmi sekolah dinyanyikan sebelum bacaan Ikrar oleh Mohd Rafiq bin Sabaruddin, selaku Ketua Pengawas. Kemudian, bacaan doa dibacakan oleh Ustaz Azril. 

7.40 pagi 
Acara dimulakan dengan ucapan GPK 1 iaitu Pn. Hajah Puspa Dewi, sebelum beliau membacakan perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Kemudian Tuan Guru Besar, En. Awang Satip bin Md. Salleh menyampaikan ucapan dan seterusnya membacakan perutusan Yang Berhormat Menteri Pelajaran. 

8.40 pagi 
Semua guru dan murid berkumpul di padang sekolah untuk acara sukaneka. Guru dan murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan tetapi tidak semua murid terlibat, sebaliknya mereka hanya menjadi penonton. Seterusnya, sukaneka dijalankan dengan beberapa acara yang menarik. Aktiviti berjalan lancar dan semua kelihatan gembira dan mengambil bahagian. 

10.00 pagi 
Majlis berhenti rehat. Murid-murid dan para guru menikmati ais krim dan pelbagai jenis kuih-muih yang disediakan di kantin sekolah. 

10.40 pagi 
Acara persembahan diadakan di dewan sekolah. Beberapa orang murid dan guru mengambil bahagian dalam acara nyanyian dan lakonan. Setiap persembahan mendapat tepukan gemuruh daripada semua murid. 

12.00 tengah hari 
Upacara penyampaian hadiah bagi acara sukaneka . Kumpulan 5 telah menjadi johan bagi keseluruhan acara. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Yang Dipertua PIBG, Encik Abu Kasim bin Kamat. 

12.40 tengah hari 
Murid yang berminat beratur untuk menyampaikan hadiah masing-masing kepada guru-guru mereka. Kemudian, semua murid beratur untuk bersalaman dengan para guru secara bergilir-gilir. 

01.10 tengah hari 
Semua murid dibenarkan balik . Para guru diraikan pula dalam satu jamuan makan tengah hari sempena Hari Guru.




Contoh Karangan Surat Tidak Rasmi

Anda diminta menulis surat kepada rakan anda untuk menceritakan tentang persediaan yang anda lakukan untuk menghadapi peperiksaan UPSR.

                                                                                                         No. 74, Taman Seri Merapoh,
                                                                                                         27210 Merapoh,
                                                                                                         Kuala Lipis,
                                                                                                         Pahang. Darul Makmur.

                                                                                                         26 November 2012

               Assalamualaikum. Menemui sahabatku Amir yang kini berada di Pulau Pinang, semoga dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.

Sahabatku,

               Apa khabar saudara sekarang? Bagaimana dengan persediaan saudara untuk menghadapi peperiksaan UPSR yang akan kita hadapi pada bulan September nanti? Untuk pengetahuan saudara, saya telah membuat beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Antara persediaan yang saya buat ialah mengulang kaji pelajaran dari pukul 8.00 malam hingga pukul 11.00 malam setiap hari.

              Semasa belajar di kelas pula, saya akan menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Jika pada masa itu saya kurang faham, saya akan segera bertanya guru supaya saya terus dapat mengikuti pengajarannya.

              Selain itu, ibu bapa saya pula telah menghantar saya belajar ke kelas tambahan sebanyak dua kali seminggu untuk memastikan saya cemerlang dalam pelajaran. Saya amat berterima kasih atas usaha mereka itu. Saya berazam akan belajar bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan harapan kedua-dua ibu bapa saya.

               Di samping itu, saya juga selalu pergi ke perpustakaan sekolah dan Perpustakaan Awam Merapoh untuk meminjam buku-buku rujukan. Biasanya saya akan pergi ke Perpustakaan Awam Merapoh pada hujung minggu sekiranya ada kelapangan masa. Di situ juga saya boleh berbincang dengan kawan-kawan tentang topik-topik yang agak sukar dan bertukar-tukar nota.

              Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Saya berharap kita akan dapat menjawab soalan dengan mudah dalam peperiksaan itu nanti. Sama-samalah kita berdoa agar mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke salah sebuah sekolah menengah yang terpilih.

              Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan saudara kali ini. Akhir sekali, sambutlah salam ingatan saya untuk saudara serta keluarga.

                                                                                                             Sahabatmu,


                                                                                                             .............................
                                                                                                             (TAN MEI MEI )

No comments:

Post a Comment